Tuesday, August 17, 2010
Takut nak buat baik termasuk dalam riak
Oleh sebab itu, tiada hak bagi seseorang menuduh seseorang yang lain sebagai tidak ikhlas. Adalah satu kesalahan seseorang Muslim menuduh orang Muslim yang lain dengan yang negatif. Hal ini kerana seseorang tidak mampu mengetahui apa yang terkandung dalam hati seseorang. Hanya Allah dan orang yang berkenaan sahaja yang mengetahui niat di hatinya.
Sebenarnya ikhlas ialah rahsia hati seseorang tatkala melaksanakan sesuatu pekerjaan. Ikhlas pada bahasa bererti bersih, maka orang yang ikhlas, hatinya bersih daripada sifat riak. Tindakannya tidak mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain, sebalik dilakukannya hanya kerana perintah Allah.
Bagaimana Untuk Ikhlas
Persoalan sekarang bagaimana hendak menjadikan seseorang itu ikhlas. Bagaimana menjadinya ikhlas dalam mengamalkan agama, ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah, ikhlas dalam pergaulan dengan manusia, dan ikhlas dalam melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya.
Sebenarnya orang yang ikhlas sama ada berhadapan dengan Allah atau manusia ketika melakukan sesuatu amalan atau kerja, tidak mengharapkan balasan dan sanjungan. Namun dia percaya perbuatannya pasti dinilai oleh Allah sebaiknya. Apa yang penting di sisinya ialah amalannya diterima oleh Allah s.w.t.
Lazimnya orang yang ikhlas takut untuk menyatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah ikhlas. Padanya biarlah pemberian tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kiri. Walau bagaimanapun kadang-kadang tindak tanduknya perlu juga diberitahu kepada orang ramai tentang keikhlasan hatinya.
Perhatikan dua contoh berikut; seorang kaya hendak memberi sumbangan kepada jirannya yang miskin, diserahkan kepadanya tatkala orang lain tidak nampak. Dia memberi semata-mata untuk menolongnya kerana seruan Allah.
Dalam kes yang lain, sesebuah syarikat hendak mendermakan kepada sesuatu badan kebajikan, perlu diisytiharkan kepada orang awam. Pemberian itu adalah ikhlas untuk membantu mengurangkan beban badan kebajikan itu. Pada masa yang sama pemberian itu boleh memberi rangsangan kepada orang kaya lain supaya turut berderma.
Pemberian orang kaya dan syarikat itu tidak boleh dituduh sebagai tidak ikhlas atau riak kerana tidak siapa pun yang mengetahui niat hati pihak berkenaan. Tuduhan orang lain dalam hal ini adalah salah dan berdosa kerana dia seolah-olah mendahului Allah dalam menghukum seseorang.
Jadi, serah sahaja urusan menghukum seseorang itu sama ada ikhlas atau tidak kepada Allah. Tetapi alangkah baiknya kalau kita doakan seseorang yang memberi sesuatu sumbangan itu berhati ikhlas. Ingatlah bersangka baik terhadap seseorang itu adalah satu ibadah yang pasti besar pahalanya.
Riak Perlu Dijauhi
Siapakah yang sebenarnya termasuk dalam riak? Riak ialah sifat mazmumah yang amat keji kerana sifat itu termasuk dalam kategori syirik khafi, syirik yang tersembunyi. Riak juga sama seperti sifat ikhlas yang tidak siapa pun boleh mengesannya sama ada riak atau tidak. Menuduh seseorang itu riak adalah dosa kerana hakikat sebenarnya hanya Allah dan diri individu tersebut sahaja yang tahu.
Jadi, elaklah membuat tuduhan terhadap seseorang sebaliknya menilai seseorang itu mengikut kadar yang kita lihat secara zahir. Sebenarnya, orang yang riak dapat dilihat pada tingkah laku, ucapan dan kata-katanya. Jika seseorang itu bertindak atau menyatakan sesuatu melebihi daripada kadar biasa, kemungkinan hatinya sudah riak. Namun, berdasarkan itu pun kita tidak boleh menuduhnya riak.
Walau bagaimanapun bagi seseorang individu yang dapat mengesan dirinya sebagai riak seharusnya berusaha untuk tidak meneruskannya. Sebagai contoh, seseorang yang berjaya melakukan solat tahajjud pada malam hari, maka pada keesokannya dia cuba hendak menceritakan kepada kawan-kawannya apa yang dilakukan pada malam hari. Jika dia sedar ketelanjurannya itu, seharusnya dia bertaubat dan tidak menceritakan semua itu kepada orang lain.
Riak Tanpa Sedar
Seseorang itu juga boleh dikategorikan sebagai riak apabila dia tidak mahu melakukan kebaikan kerana takut dituduh riak. Inilah riak yang sering dilakukan tanpa sedar. Sebagai contoh, seorang bertanya kepada kawannya, “mengapa kamu tidak mahu pakai tudung” atau “bila kamu nak pakai tudung?” dengan beraninya dia berkata, “aku tidak mahu pakai lagi waktu ini kerana takut orang kata aku riak.”
Nauzubillah, ucapannya yang pendek itu sebenar sudah dinilai oleh Allah sebagai riak. Inilah yang sering kita dengar dari lidah umat Islam. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu adalah dosa, dosa riak, dan dosa syirik secara tidak sedar.
Umat Islam khususnya yang membaca artikel ini seharusnya berubah daripada terus memperoleh dosa secara tidak sedar ini. Ketahuilah dosa riak dalam bahagian ini banyak mengundang kemusnahan kepada amalan individu Muslim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment