Allah Taala mempunyai kuasa yang luar biasa dan mutlak. Kuasa (Kudrat) Allah tidak terbatas dan tidak dibataskan. Allah yang bersifat Kudrat boleh melakukan apa sahaja dan boleh mentiadakan apa sahaja. Dia boleh mengadakan atau mentiadakan tanpa perantaraan, tanpa sebab atau tanpa menggunakan sebarang wasilah. Jika Allah berkata, “Jadilah” , terus jadi . Jika Allah berkata, “Binasalah”, terus binasa.
Begitulah hebatnya Allah yang bersifat Kudrat atau Maha berkuasa. Allah boleh melakukan apa sahaja tanpa dibantu sebarang perantaraan atau wasilah. Sebut sahaja “Kun,” – fayakun (“Jadilah,” – terus jadi).
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada benda itu: “Jadilah!” Maka is terus terjadi.” (Yaasin: 82)
Walaupun begitu, kebanyakan perkara sama ada yang lahir mahupun yang ghaib terjadi dengan bersebab, berperantara atau menggunakan wasilah. Allah Taala lakukan itu semua dengan kehendak-Nya.
Firman Allah SWT dalam Al Quran:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah memberi kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.” (Al Kahfi: 84)
Di antara contoh perkara ghaib yang menggunakan wasilah adalah:
1. Untuk mencabut nyawa segala yang bernyawa, diperintahkan malaikat Izrail melakukannya.
2. Untuk menulis kebaikan dan kejahatan, malaikat yang di kiri kanan manusia merekodkannya atau merakamkannya iaitu malaikat Raqib dan Atid.
3. Mengagih-agihkan rezeki kepada makhluk-Nya adalah kerja malaikat Mikail. Begitulah seterusnya.
Perkara-perkara yang lahir pula adalah seperti:
1. Mendapatkan ilmu menggunakan akal dan diusahakan belajar.
2. Hendak mendapat rezeki atau kekayaan kenalah berusaha dan bekerja serta menggunakan akal.
3. Hendakkan anak kenalah berkahwin.
4. Ingin maju dan membangun, kenalah berjuang dan berusaha.
5. Ingin sihat, jaga makan minum dan riadah selalu.
Begitulah seterusnya.
Kejadian yang berlaku tadi sama ada yang ghaib mahupun yang lahir, Allah Taala lakukan dengan melalui wasilah atau sebab. Walhal Allah boleh lakukan tanpa perantaraan malaikat atau perantara akal dan usaha tadi. Allah Taala boleh lakukan dengan hanya berkata, “Matilah!”, terus mati. “Pandailah!”, terus pandai. “Kayalah!”, terus kaya . Begitulah seterusnya. Kiaskanlah dengan yang lain-lain itu.
Mengapa Allah Taala dengan Kudrat-Nya atau dengan Kemampuan-Nya tidak melakukan dengan cara berkata sahaja, “Kun”, fayakun, “Jadilah”, terus jadi. Mengapa Allah menghendaki sesuatu menggunakan wasilah atau sebab. Kalau manusia itu mahu berfikir dan mengkaji, sebenarnya banyak hikmah dan pengajarannya mengapa Allah SWT lakukan dengan wasilah atau bersebab.
Di antaranya:
1.Supaya manusia terasa kebesaran Zat Tuhan yang berkuasa. Melalui wasilah dan sebab itu, bukan sahaja makhluk yang bernyawa boleh menerima dan patuh kepada perintah-Nya bahkan makhluk yang tidak bernyawa pun boleh menerima perintah-Nya. Seperti angin dan awan, patuh kepada perintah Allah untuk membawa dan menurunkan hujan.
2.Nampak kehebatan kerajaan Allah dan pentadbiran-Nya bilamana petugas-petugas dan pegawai-pegawai-Nya terlalu banyak. Ada yang ghaib dan ada yang nyata. Ada yang bernyawa ada yang tidak. Ada yang berakal, ada yang tidak berakal. Semuanya boleh patuh dengan perintah dan suruhan-Nya. Membuat kerja Tuhan tanpa bangkang. Tidak seperti di dalam kerajaan manusia.
3.Untuk menggalakkan manusia berjuang, berusaha dan bekerja sebagai melahirkan wasilah dan sebab agar mereka dapat membuat kemajuan dunia dan Akhirat demi kepentingan mereka. Juga agar dapat dirasakan betapa tenaga manusia itu dapat dimanfaatkan.
4.Supaya hamba-hamba-Nya, melalui sebab itu, dapat meluaskan syariat Islam yang lebih global dan menyeluruh melalui usaha dan perjuangan. Agar syariat yang menyeluruh dan global di dalam kehidupan manusia menjadi budaya hidup mereka. Maka dengan itu nampak kebesaran syiar Tuhan itu serta bertambahnya luas kehidupan di dunia ini.
5.Dengan melahirkan sebab dan wasilah seperti berusaha dan berjuang maka hamba-hamba-Nya berhadapan dengan berbagai kesusahan dan kepayahan maka di sinilah mereka memperolehi pahala yang besar dari Allah SWT.
6.Dengan adanya usaha sebagai sebab atau wasilah untuk manusia membangunkan kehidupan mereka dengan berlandaskan syariat-Nya, sudah tentu mereka berhadapan dengan berbagai-bagai ujian. Di sinilah mereka memperolehi pula penghapusan dosa atau darjat dan pangkat di dalam Syurga dengan rahmat Allah SWT.
7.Kerana Allah hendak menguji hamba-hamba-Nya apakah hamba-hamba-Nya boleh taat dan patuh di atas perintahNya agar mereka berjuang dan berusaha. Berjuang dan berusaha itu yang dikatakan sebab dan wasilah. Melahirkan sebab dan wasilah adalah diperintah.
8.Agar manusia itu tidak jadi beku dan jumud. Apabila diperintahlcan berusaha dan berjuang sebagai sebab dan wasilah, manusia akan belajar. Mereka akan mencari pengalaman, berfikir, mencuba dan mengkaji. Dengan itu manusia akan menjadi orang yang mempunyai ilmu dan pengalaman serta bertamadun. Ianya sangat memberi faedah kepada manusia itu sendiri.
9.Di dalam berusaha dan berjuang sudah tentu manusia itu akan berhadapan dengan cabaran. Akan menempuh kesusahan dan kepayahan. Letih, lesu dan adakalanya menerima kegagalan. Di sinilah manusia itu akan terasa lemah dan terasa tiada kuasa. Lahirlah rasa kehambaan yang inginkan bantuan dan mengharapkan pertolongan dari Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Pemurah. Dengan itu sifat sombong dan bangga diri akan hilang.
10.Apabila manusia berjuang, berusaha, berikhtiar sebagai wasilah, mereka akan mewujudkan keperluan-keperluan dan kepentingan hidup mereka di dalam berbagai-bagai aspek dan bidang. Oleh kerana keperluan-keperluan manusia itu amat banyak maka lahirlah berbagai-bagai kemajuan di dalam berbagai-bagai aspek. Ini merupakan nikmat dan rahmat daripada Allah SWT. Di sini manusia itu akan terasa pemberian dan anugerah dari Allah. Maka mereka akan bersyukur dan mereka dapat pula pahala syukur.
11. Dengan sebab dan wasilah itu, Allah Taala hendak menguji manusia. Apakah nanti manusia itu terpesona dan terpengaruh dengan nikmat-nikmat yang dilahirkan daripada sebab-sebab atau wasilah yang mereka lakukan atau mereka bertambah yakin dan terasa kebesaran Allah serta pemberianNya sehingga mereka boleh bersyukur kepada Allah SWT.
Setelah kita mengkaji dan menganalisa hikmah mengapa Allah melakukan sesuatu kewujudan itu dengan perantaraan sebab atau wasilah, rupa-rupanya ia mengandungi hikmah dan pengajaran yang amat banyak. Sebahagiannya seperti apa yang telah disebutkan sebelum ini.
Jika seseorang itu dapat memahami dan menghayati bahawa sebab-sebab dan wasilah-wasilah itu mengandungi hikmah yang besar, ia akan membentuk sikap dan peribadinya. Cuma tidak ramai orang yang boleh berbuat demikian dan menghayatinya.
Bahkan kebanyakan orang dengan sebab-sebab dan wasilah-wasilah itu mereka jadi terhijab dengan Tuhan. Hingga dengan itu tidak nampak lagi kebesaran, kuasa (Kudrat) dan nikmat daripada Allah SWT. Yang mereka nampak ialah usaha mereka, kemampuan mereka, akal dan kepandaian mereka, perjuangan mereka, kegigihan mereka dan kesungguhan mereka.
Justeru itu timbul rasa sombong, angkuh, keakuan, terasa diri hebat, kagum dengan diri sendiri dan terasa kelebihan diri. Walaupun tidak mengaku Tuhan tetapi mereka melihatkan sikap seolah-olah menpertuhankan diri. Maka jatuhlah kepada syirik khafi kerana mereka merasakan seolah-olah sebab dan wasilah itu yang memberi bekas.
Sebab atau wasilah itu ada beberapa kategori:
1. Sebab atau wasilah yang ghaib .
Contohnya seperti malaikat menurunkan wahyu atau ilham. Malaikatul maut mengambil nyawa. Raqib dan Atid yang berada di sebelah kanan kiri manusia, menulis kebaikan dan kejahatan manusia. Malaikat yang menanggung `Arasy, Mungkar dan Nakir yang menyoal manusia di dalam kubur dan lain-lain lagi.
2. Yang bersifat maknawi .
Contohnya seperti keberadaan seseorang yang soleh atau bertaqwa di suatu tempat, dengan berkatnya Allah selamatkan tempat itu atau kampung itu daripada bala bencana atau orang itu sendiri dan orang kampung dimurahkan rezeki.
3. Sebab-sebab atau wasilah yang zahir, nyata atau hissi.
Contohnya seperti berusaha berniaga, berusaha bertani, rajin belajar, berjuang dan lain-lain.
4. Yang bersifat rohaniah.
Contohnya seperti doa seseorang, rintihan hati seseorang dan baik sangka seseorang dengan Allah Taala. Amalan-amalan yang tertentu yang Allah berkati menjadi sebab untuk seseorang itu selamat. Ketaqwaan seseorang menjadi sebab mendapat rezeki, terlepas daripada kesusahan atau terhindar daripada bala bencana.
No comments:
Post a Comment